Kuala Lumpur, 23 April 2025 – Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam satu majlis rasmi yang berlangsung dalam suasana penuh semangat dan kesepakatan sebentar tadi.
Majlis ini menandakan permulaan kerjasama strategik antara dua entiti berpengaruh — satu mewakili sektor korporat, dan satu lagi suara pengguna yang aktif memperjuangkan hak rakyat. Usaha ini merupakan satu langkah proaktif dalam membina sinergi yang mampan dan holistik ke arah memperkukuh ekosistem pengguna dan ekonomi tempatan.
Melalui pemeteraian ini, kedua-dua pihak komited untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ; Pembangunan usahawan dan perusahaan mikro, pendidikan serta kesedaran pengguna, sokongan terhadap produk dan jenama tempatan dan pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat
PPIM turut menegaskan kepentingan sokongan masyarakat terhadap produk tempatan, menyeru agar pengguna memainkan peranan aktif dalam membantu menjana pertumbuhan ekonomi negara melalui pembelian barangan buatan Malaysia. Ini sejajar dengan aspirasi PKB dalam mengangkat potensi ekonomi rakyat Kedah dan seluruh negara.
PKB dan PPIM percaya bahawa kerjasama ini bukan sahaja akan memperluas jaringan kolaborasi, tetapi juga membuka lembaran baharu dalam usaha memperjuangkan kepentingan pengguna secara lebih menyeluruh, inklusif dan berteraskan prinsip kemaslahatan bersama.
Semoga inisiatif ini menjadi titik tolak kepada lebih banyak usaha strategik yang akan terus memperkasakan masyarakat dan ekonomi negara. Kami di PKB yakin bahawa melalui kolaborasi seumpama ini, agenda pembangunan rakyat dapat dipacu dengan lebih berkesan dan berdaya tahan.


