15 Mei 2025, Khamis – Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Kedah Berhad (PKB), Encik Mohd Azad bin Jasmi, telah mengadakan kunjungan hormat ke Yayasan Islam Negeri Kedah (YIKED) bersama delegasi yang turut disertai oleh Pengurus Pembangunan Perniagaan, Puan Muzzaini binti Abd. Rahman dan Penolong Pengurus Operasi, Encik Mohd Hamiz bin Redzuan.

Kunjungan ini bertujuan untuk mempererat hubungan dua hala antara PKB dan YIKED, selain membuka ruang kepada perbincangan mengenai potensi kerjasama strategik dalam pelbagai inisiatif pembangunan yang boleh memberi manfaat bersama, khususnya dalam konteks kemajuan negeri Kedah.

Pertemuan turut diisi dengan sesi suai kenal antara wakil kedua-dua entiti, di samping bertukar pandangan berkenaan hala tuju dan peluang kolaborasi jangka panjang yang dapat diterokai demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.

Semoga kunjungan ini menjadi pemangkin kepada hubungan yang lebih erat dan berterusan antara PKB dan YIKED, seterusnya menyumbang kepada agenda pembangunan negeri secara menyeluruh.