Kuala Lumpur, 9 September 2025, Khamis – Permodalan Kedah Berhad (PKB) terus memperkukuh kedudukan sebagai peneraju pembangunan strategik Negeri Kedah apabila satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai bersama Ocean Rich Resources Sdn. Bhd. pada majlis yang berlangsung di Hotel Impiana, Kuala Lumpur. Majlis berkenaan menyaksikan pemeteraian MoU oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKB, En. Mohd Azad bin Jasmi, yang turut diiringi oleh Puan Muzzaini binti Abd Rahman, Pengurus Pembangunan Perniagaan, dan En. Hamiz bin Mohd Redzuan, Penolong Pengurus Operasi. Sementara itu, Ocean Rich Resources Sdn. Bhd. diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, En. Muhammad Edris Qayyum bin Abdul Rahman.

Majlis ini menandakan komitmen kedua-dua pihak untuk menjalin kerjasama strategik dalam memperkukuh sektor akuakultur negeri Kedah secara mampan, khususnya melalui pembangunan dan pengkomersialan industri tiram berskala besar dengan matlamat menjadikan Kedah sebagai Pusat Industri Tiram Malaysia.

Objektif utama MoU ini adalah untuk mewujudkan platform kolaborasi yang memberi manfaat bersama melalui perkongsian kepakaran, sumber dan pengalaman antara PKB dan Ocean Rich Resources. Kerjasama ini dijangka memperkukuh potensi ekonomi negeri dalam sektor akuakultur, meningkatkan peluang pelaburan serta memperluas pasaran hasil laut tempatan ke peringkat nasional dan antarabangsa.

Melalui persefahaman ini, PKB dan Ocean Rich Resources sepakat untuk meneroka peluang pelaburan baharu, memperkukuh rantaian nilai industri, serta memacu pertumbuhan sektor akuakultur yang selaras dengan dasar pembangunan hijau negeri Kedah. Inisiatif ini turut disasarkan untuk memberi impak positif kepada pembangunan komuniti setempat melalui peningkatan aktiviti ekonomi pesisir dan pewujudan peluang pekerjaan baharu.

Penandatanganan MoU ini mencerminkan usaha berterusan PKB dalam membina sinergi strategik bersama sektor swasta bagi memperkukuh daya saing ekonomi negeri. PKB kekal komited dalam memainkan peranan sebagai pemangkin pembangunan mampan dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran Negeri Kedah Darul Aman.