Alor Setar – 20 Jun 2025, Jumaat: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha Binti Almarhum Tengku Ariff, Sultanah Negeri Kedah Darul Aman berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM Tuanku Sultan Kedah yang ke-83 bertempat di Masjid Zahir, Alor Setar.

Majlis dimulakan dengan Solat Maghrib berjemaah, diikuti bacaan Yasin dan doa selamat yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Zahir, Syeikh Mohd Naim Ahmad, sebelum diteruskan dengan Solat Isyak berjemaah. Turut hadir, YAB Datoโ€™ Seri Haji Muhammad Sanusi Md. Nor, Menteri Besar Kedah dan isteri; YB Dato’ Seri Hj. Norizan bin Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri; Sohibus Samahah Datoโ€™ Paduka (Dr.) Syeikh Fadzil bin Haji Awang, Mufti Negeri Kedah; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri serta dif-dif kehormat yang lain.

Bagi pihak Permodalan Kedah Berhad (PKB), En. Azad Bin Jasmi turut hadir mewakili syarikat bagi meraikan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Sultanah Kedah ke majlis tersebut. Kehadiran ini mencerminkan sokongan berterusan PKB dalam meraikan acara rasmi negeri yang penuh makna serta mendekatkan institusi dengan masyarakat.

Bersempena sambutan ini juga, PKB dengan penuh takzim mempersembahkan Kek Diraja seberat 13 kilogram berinspirasikan bunga padi, melambangkan identiti negeri Kedah sebagai Jelapang Padi Negara. Hiasan rona emas dan hijau diraja pada kek ini menjadi simbol kemakmuran, keteguhan tradisi dan kedaulatan negeri di bawah naungan Tuanku.

PKB menjunjung setinggi-tinggi kasih serta merafak sembah doa agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa dalam rahmat dan keberkatan Allah SWT, dikurniakan kesihatan berpanjangan serta terus memayungi rakyat dengan keadilan dan kebijaksanaan.

Daulat Tuanku!