07 Mei 2025, Rabu – Satu kunjungan hormat penuh makna telah dilakukan oleh delegasi Permodalan Kedah Berhad (PKB) diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Mohd Azad bin Jasmi bersama Pengurus Pembangunan Perniagaan Puan Muzzaini binti Abd. Rahman dan Penolong Pengurus Operasi Encik Mohd Hamiz bin Redzuan ke pejabat YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad, Penasihat Kumpulan Kerjasama Serantau 4 Negeri (SG4), di Putrajaya.

Kunjungan ini bertujuan untuk memperkenalkan peranan dan inisiatif semasa PKB dalam pembangunan ekonomi negeri Kedah serta meneroka ruang kerjasama yang selari dengan aspirasi SG4 dalam memperkasa pembangunan serantau secara holistik dan mampan.

Pertemuan tersebut turut memberi peluang kepada pihak PKB untuk mendapatkan pandangan dan nasihat strategik daripada YABhg. Tun dalam merangka hala tuju pelaburan dan pembangunan masa hadapan, khususnya dalam konteks memperkukuh daya saing Kedah sebagai hab ekonomi dan pelaburan utama di utara Semenanjung Malaysia.

PKB amat menghargai kesudian YABhg. Tun menerima kunjungan ini dan berharap agar hubungan yang terjalin dapat diteruskan dalam usaha memacu kemajuan negeri secara inklusif dan berimpak tinggi.