15 Mei 2025, Khamis – Satu perjanjian persefahaman (MoU) telah dimeterai antara Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Pahlawan Dinamik Sdn. Bhd., menandakan permulaan kerjasama strategik dalam memperkukuh aspek keselamatan dan pengurusan risiko, khususnya berkaitan kebakaran dalam pembangunan PKB.

Majlis MoU ini disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Encik Mohd Azad Bin Jasmi, dan disaksikan oleh Pengurus Pembangunan Perniagaan, Puan Muzzaini binti Abd. Rahman.

Pahlawan Dinamik Sdn. Bhd., sebuah syarikat bumiputera yang berpengalaman dalam teknologi keselamatan dan pertahanan, akan menyediakan penyelesaian komprehensif termasuk sistem pemantauan kebakaran, alat pengesanan awal (early detection systems), sistem respons kecemasan bersepadu, serta latihan keselamatan kebakaran.

Kerjasama ini dijangka memberi nilai tambah yang besar kepada infrastruktur PKB, terutamanya dalam memastikan keselamatan aset, kawasan industri, dan projek pembangunan di bawah kelolaan PKB berada pada tahap terbaik.

Moga MoU ini menjadi titik tolak kepada kerjasama yang lebih mantap dan berimpak tinggi dalam aspek keselamatan, inovasi teknologi dan pengurusan risiko di negeri Kedah.