Kuala Lumpur, 10 September 2025, Rabu: Permodalan Kedah Berhad (PKB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama 229 Capital L.P., sebuah syarikat dana berdaftar di Labuan yang mempunyai kepakaran dalam pasaran modal dan penasihatan transaksi kompleks.

Majlis yang berlangsung di The Vertical Business Suite, Bangsar South, Kuala Lumpur ini disaksikan oleh pengurusan tertinggi kedua-dua pihak. MoU ini bertujuan untuk membuka kerjasama strategik dalam bidang pelaburan serta menawarkan peluang baharu bagi pembangunan ekonomi negeri Kedah.

229 Capital mempunyai rekod cemerlang dalam mengurus dan menyusun penyenaraian awam awal (IPO) di pasaran antarabangsa termasuk Nasdaq dan New York Stock Exchange (NYSE). Melalui kerjasama ini, PKB akan memanfaatkan kepakaran 229 Capital dalam penyediaan strategi IPO, penyelarasan kawal selia, serta akses kepada rangkaian pelabur luar negara.

PKB pula, melalui hubungan dan rangkaian perniagaannya, akan mengenal pasti syarikat-syarikat berpotensi yang boleh dipersiapkan untuk penyenaraian di pasaran modal antarabangsa. Usaha ini dijangka mampu meningkatkan daya saing syarikat-syarikat tempatan, sekaligus memberi impak positif terhadap pembangunan ekonomi Kedah.

Dengan termeterainya MoU ini, PKB yakin kerjasama bersama 229 Capital akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak peluang strategik pada masa hadapan, khususnya dalam menghubungkan syarikat-syarikat tempatan ke pasaran modal global.