24 – 26 Jun 2025, Selasa – Khamis : Selama tiga hari yang penuh pengisian dan komitmen tinggi, Bengkel Pembangunan Pelan Antirasuah (PARK) telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya di Hotel Jerai, Kedah. Bengkel ini merupakan inisiatif strategik yang dijalankan dengan kerjasama erat Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negeri Kedah, bertujuan memperkasa sistem tadbir urus syarikat melalui pendekatan pencegahan rasuah yang sistematik, menyeluruh dan berfokus.
Program ini memberi ruang kepada seluruh warga kerja Kumpulan PKB untuk mendalami prinsip, strategi serta mekanisme pelaksanaan Pelan Antirasuah Organisasi yang selari dengan aspirasi Pelan Antirasuah Nasional (NACP). Pelaksanaan bengkel ini bukan sahaja mencerminkan komitmen serius organisasi terhadap agenda integriti, malah menjadi medan memperkukuh nilai akauntabiliti, ketelusan serta pembudayaan amalan kerja beretika di setiap peringkat pengurusan.
Dengan input kepakaran daripada pihak Jabatan Integriti dan Tadbir Urus, para peserta bengkel telah diberi pendedahan tentang keperluan pengurusan risiko rasuah, penyediaan dokumen pelan tindakan yang mantap, serta tatacara pemantauan dan pelaporan yang berkesan menjadikan pelan ini sebagai instrumen penting dalam menjadikan organisasi lebih berdaya tahan terhadap ancaman salah guna kuasa dan ketirisan.
Sesungguhnya, pelaksanaan bengkel ini menjadi satu titik tolak penting dalam landskap transformasi tata kelola korporat ke arah organisasi yang lebih berintegriti, bertanggungjawab dan diyakini masyarakat serta pihak berkepentingan.


