Putrajaya – 12 Ogos 2025, Selasa: Bagi pihak Permodalan Kedah Berhad (PKB), En. Azad Bin Jasmi sekali lagi berkesempatan bertemu dengan YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membincangkan perkembangan projek serta bertukar pandangan mengenai strategi pembangunan. Dalam pertemuan tersebut, Tun turut berkongsi pengalaman lawatan kerjanya ke Jepun, termasuk teknologi kenderaan hidrogen yang hanya memerlukan tiga minit untuk dicas dengan jarak perjalanan sehingga 800 kilometer – satu gambaran jelas tentang kepesatan inovasi yang mampu mengubah landskap masa depan.
Namun, lebih daripada sekadar cerita teknologi, nasihat Tun tentang pembuatan keputusan menjadi inti pati yang paling memberi kesan. Menurut beliau, ramai yang mampu merancang dengan baik, tetapi sering teragak-agak untuk membuat keputusan kerana menunggu sehingga risiko hilang sepenuhnya. Hakikatnya, keputusan mesti dibuat berasaskan fakta, kajian serta justifikasi yang jelas, bukan sekadar intuisi semata-mata. Doa dan harapan itu penting, tetapi hanya akan bermakna jika disusuli dengan usaha strategik dan tindakan nyata.
Refleksi daripada perbualan ini menegaskan bahawa keberanian dalam membuat keputusan perlu hadir bersama kepantasan bertindak, keupayaan mengurus risiko, serta disiplin melaksanakan rancangan dengan konsisten. Prinsip ini selari dengan pendekatan pengurusan moden yang menekankan evidence-based management, scenario planning, serta penutupan jurang antara strategi dan pelaksanaan.
Bagi PKB, pandangan ini menjadi pengajaran berharga bahawa setiap langkah strategik menuntut keberanian membuat keputusan pada masa yang tepat. Dengan tindakan tersusun berpandukan data dan fakta, perancangan bukan sahaja mampu diterjemahkan kepada hasil, malah membawa manfaat besar kepada negeri serta rakyat.