China, 14 – 17 Jun 2025 – Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Kedah Berhad (PKB), Encik Mohd Azad bin Jasmi, telah dijemput secara rasmi oleh Haier Energy, China untuk mengadakan lawatan strategik berimpak tinggi ke ibu pejabat syarikat tersebut, sebagai inisiatif menjalin kolaborasi teknologi bersama Kerajaan Negeri Kedah.

Haier Energy, yang berpangkalan di China, merupakan syarikat gergasi global dalam penyelesaian tenaga pintar, teknologi penyimpanan tenaga (battery storage), sistem solar, serta pembangunan komuniti pintar berasaskan tenaga boleh diperbaharui. Sebagai pemain utama dalam industri teknologi mampan, Haier Energy menyediakan platform eksklusif untuk PKB meninjau secara langsung teknologi futuristik dan model pembangunan bersepadu yang merangkumi perumahan pintar, tenaga hijau dan teknologi industri lestari.

Jemputan ini mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan PKB dalam memacu pembangunan negeri yang berdaya saing, sekali gus menjadi pemangkin kepada perluasan jaringan antarabangsa serta menyokong aspirasi Kerajaan Negeri Kedah untuk muncul sebagai negeri teknologi tinggi, hijau dan pintar di peringkat global.

Dengan komitmen jitu terhadap inovasi dan kemajuan lestari, lawatan ini mengukuhkan kedudukan PKB sebagai agensi pelaksana utama yang mendukung halatuju strategik negeri — membuka ruang baharu kepada pelaburan asing, pemindahan teknologi serta kerjasama rentas sempadan yang mampu mengubah landskap sosioekonomi Kedah untuk jangka masa panjang.