Kuala Lumpur, 8 Oktober 2025, Rabu : Permodalan Kedah Berhad (PKB) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Bumi Barakah Development Sdn Bhd dan Mediconsult Sdn Bhd bagi meneroka kerjasama pembangunan hospital swasta 100 katil di Anak Bukit, Alor Setar, Kedah, dengan potensi peluasan sehingga 300 katil dan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM165 juta.
Objektif utama MoU ini adalah untuk memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan di Kedah melalui pembangunan kemudahan perubatan moden berkonsepkan โAsset Light Operator Modelโ, yang bakal dikendalikan oleh pengendali hospital bertauliah tanpa menanggung risiko pembinaan.
Di bawah MoU ini, PKB bertindak sebagai penyelaras strategik yang memberi sokongan dari segi penglibatan dengan pihak berkuasa negeri dan persekutuan serta mempertimbangkan potensi pelaburan atau penyertaan ekuiti. Bumi Barakah Development Sdn Bhd pula menyediakan tanah projek seluas kira-kira lima ekar di antara Raia Hotel dan Lapangan Terbang Alor Setar, selain bertindak sebagai Promoter yang mengurus hal pemilikan tanah serta rundingan bersama pelabur dan rakan pembinaan. Sementara itu, Mediconsult Sdn Bhd memainkan peranan sebagai Lead Consultant yang mengetuai perancangan dan reka bentuk hospital, memberi khidmat nasihat teknikal serta memastikan pematuhan piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Turut hadir menyaksikan majlis menandatangani MoU ini ialah Encik Mohd Azad bin Jasmi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKB, yang menandatangani bagi pihak PKB, disaksikan oleh Puan Muzzaini binti Abd Rahman, Pengurus Pembangunan Perniagaan PKB. Majlis turut disertai oleh wakil daripada Mediconsult Sdn Bhd dan Bumi Barakah Development Sdn Bhd selaku rakan kerjasama strategik projek ini.
Kerjasama strategik ini menjadi langkah penting dalam memperkukuh pembangunan sektor kesihatan dan pelaburan strategik negeri Kedah, seiring matlamat PKB untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri melalui projek berimpak tinggi.

