Alor Setar – 11 September 2025, Khamis: Permodalan Kedah Berhad (PKB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Waris Cekal Sdn. Bhd. dan Vulf Asia Sdn. Bhd sebagai langkah strategik memperkukuh kerjasama dalam bidang pembangunan serta keselamatan digital di negeri Kedah.
Melalui MoU ini, kerjasama yang dijalinkan bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, malah turut merangkumi inisiatif memperkukuh aspek siber sekuriti khususnya bagi sektor awam. Hal ini selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk memastikan penjawat awam dilengkapi dengan kesedaran, ilmu serta kemahiran dalam menghadapi cabaran keselamatan maklumat di era digital.
Ancaman siber yang semakin kompleks boleh memberi kesan besar terhadap operasi kerajaan serta keyakinan rakyat sekiranya tidak ditangani dengan berkesan. Justeru, kerjasama strategik ini dijangka dapat menyediakan platform latihan, pembangunan kapasiti dan perkongsian teknologi bagi meningkatkan tahap keselamatan data serta melindungi sistem maklumat rasmi kerajaan negeri Kedah.
Dengan termeterainya MoU ini, PKB yakin ia akan menjadi titik tolak kepada usaha memperkukuh kesiapsiagaan digital penjawat awam sekaligus menyokong aspirasi Kedah ke arah sebuah negeri yang lebih berdaya saing, selamat dan progresif dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0.

