Alor Setar – 14 Ogos 2025, Khamis: Satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan KISMET Golden Estate Sdn. Bhd., sebuah syarikat pemaju yang berpengalaman dalam sektor perumahan, telah diadakan bagi meneroka peluang kolaborasi strategik dalam bidang pembangunan perumahan.
Majlis ini disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Encik Mohd Azad bin Jasmi, dan disaksikan oleh Pengurus Pembangunan Perniagaan, Puan Muzzaini binti Abd. Rahman, Cik Nor Shada binti Md. Dahlal, serta wakil utama dari pihak KISMET iaitu Encik Mohamad Najib bin Mohd Ali, Encik Muhamad Rani bin Nordin dan Encik Haidar Zolkarnain bin Mohd Daud.
MoU ini dilihat sebagai landasan kukuh dan titik tolak kepada kerjasama strategik yang memberi impak tinggi dalam menjana pembangunan perumahan yang inovatif, berkualiti dan mampan di Negeri Kedah. Melalui persefahaman ini, PKB dan KISMET komited untuk memacu kemajuan sektor perumahan dengan menyepadukan kepakaran masing-masing demi memberi manfaat luas kepada komuniti serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
Dengan harapan tinggi, kerjasama ini dijangka dapat memperkukuh reputasi Negeri Kedah sebagai peneraju dalam pembangunan perumahan sekaligus meningkatkan daya saing sektor hartanah di peringkat negeri dan seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi.

