Alor Setar – 29 Julai 2025, Selasa: Permodalan Kedah Berhad (PKB) dengan penuh hormat dan penghargaan telah menerima kunjungan rasmi julung kali oleh YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah PKB, sempena Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah PKB Kali ke-85 Bil 1/2025 yang telah berlangsung di ibu pejabat PKB.

Lawatan kerja ini merupakan satu detik bersejarah buat warga kerja PKB, yang bukan sahaja berpeluang untuk berkongsi perkembangan semasa syarikat secara terus kepada YAB Menteri Besar, malah turut menerima amanat dan pandangan strategik daripada beliau dalam usaha memperkasa peranan PKB sebagai pemacu pembangunan ekonomi negeri Kedah.

Turut hadir dalam sesi ini ialah barisan Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi PKB. Mesyuarat kali ini menekankan hala tuju strategik syarikat bagi tahun 2025/2026 termasuk tumpuan kepada projek-projek berimpak tinggi, inisiatif digitalisasi serta pengukuhan keupayaan anak-anak syarikat.

Lawatan diakhiri dengan sesi bergambar bersama warga kerja dan lawatan ringkas ke sekitar ruang operasi pejabat PKB. Semangat kolaborasi dan aspirasi yang tinggi daripada pimpinan tertinggi negeri menjadi suntikan semangat baharu buat seluruh pasukan PKB untuk terus melangkah maju, seiring visi negeri Kedah sebagai negeri berdaya maju dan berdaya saing.