Padang Terap – Isnin, 18 Ogos 2025 : Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Kedah Berhad (PKB), Encik Mohd Azad bin Jasmi telah mengetuai satu delegasi PKB dalam kunjungan hormat ke Pejabat Pegawai Daerah Padang Terap. Turut hadir bersama dalam delegasi tersebut ialah Pengurus Pembangunan Perniagaan, Puan Muzzaini binti Abd. Rahman; Penolong Pengurus Operasi, Encik Mohd Hamiz bin Redzuan dan Encik Mohd Syazmi Aiman bin Abd. Razak. Delegasi ini telah menyantuni Yang Berusaha Puan Hajjah Sharifah Norulasyikhah binti Syed Mohamad, AMK., BCK., Pegawai Daerah Padang Terap.

Kunjungan hormat ini menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim di samping membuka ruang perbincangan mengenai hala tuju kerjasama strategik yang berpotensi dilaksanakan secara bersama. Pertemuan ini turut memberi penekanan terhadap kepentingan membina jaringan komunikasi yang kukuh demi manfaat daerah Padang Terap serta menyokong aspirasi pembangunan negeri Kedah pada masa hadapan.

PKB menzahirkan penghargaan atas penerimaan baik daripada pihak Pejabat Pegawai Daerah Padang Terap dan berharap agar hubungan yang terjalin ini akan terus diperkukuh demi kesejahteraan masyarakat serta membawa manfaat berterusan kepada semua pihak.