SESI KUNJUNGAN HORMAT PERMODALAN KEDAH BERHAD KE PEJABAT BELANJAWAN NEGARA PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK DAN TEROKA PELUANG PEMBANGUNAN BAHARU

Permodalan Kedah Berhad

PUTRAJAYA, 9 Jun 2026 – Permodalan Kedah Berhad (PKB) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Dato’ Hajah Norison binti Ramli, Pengarah Pejabat Belanjawan Negara (NBO), sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan hubungan strategik serta meneroka peluang kerjasama yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri Kedah dan pertumbuhan mampan Kumpulan PKB.

Delegasi PKB yang diketuai oleh Mohd Azad bin Jasmi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKB, telah mengadakan sesi perbincangan dan percambahan idea (brainstorming) bersama pihak Pejabat Belanjawan Negara mengenai pelbagai peluang pembangunan strategik yang boleh diterokai oleh Kumpulan PKB sejajar dengan aspirasi pembangunan ekonomi negeri dan negara.

Antara perkara yang menjadi fokus perbincangan adalah potensi pembangunan dan pengembangan sektor-sektor utama Kumpulan PKB, termasuk pembangunan hartanah dan tanah strategik, pembinaan dan infrastruktur, pengurusan aset, hospitaliti dan pelancongan, tenaga boleh baharu, perlombongan, serta penerokaan peluang-peluang pelaburan baharu yang mampu menjana nilai ekonomi dan pulangan mampan kepada syarikat serta negeri Kedah.

Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi pembangunan sektor-sektor berteknologi tinggi yang dijangka menjadi pemacu utama ekonomi masa hadapan, khususnya dalam bidang keselamatan siber (Cybersecurity) dan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence – AI). Perbincangan tersebut merangkumi peluang pembangunan ekosistem digital, pemerkasaan bakat tempatan, penubuhan pusat kecemerlangan (Centre of Excellence) serta penerokaan pelaburan strategik yang dapat menyokong agenda transformasi digital negara.

Sesi perbincangan yang berlangsung dalam suasana terbuka dan konstruktif itu turut membuka ruang kepada pertukaran pandangan mengenai landskap ekonomi semasa, keutamaan pembangunan negara serta peluang kerjasama yang boleh diterokai bagi menyokong pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi negeri.

PKB menyifatkan kunjungan hormat ini sebagai satu platform penting dalam memperkukuhkan hubungan dengan agensi strategik di peringkat Persekutuan, di samping mendapatkan pandangan serta input yang bernilai dalam merangka inisiatif pembangunan yang selaras dengan keperluan ekonomi masa kini dan masa hadapan.

PKB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YBhg. Dato’ Hajah Norison binti Ramli dan pihak Pejabat Belanjawan Negara atas kesudian menerima kunjungan hormat tersebut serta perkongsian pandangan yang bermanfaat ke arah memperkukuhkan pembangunan ekonomi, pelaburan strategik dan transformasi digital negara.