PKB Teroka Pelaburan Teknologi Tinggi melalui Cadangan Pusat AI dan Keselamatan Siber

Permodalan Kedah Berhad

Seremban, 16 April 2026 – Rentetan daripada pemeterian Definitive Binding Agreement pada 16 Mac 2026 yang lalu, pihak pengurusan Permodalan Kedah Berhad (PKB) telah mengadakan lawatan rasmi ke Security of Centre Vulsan di Seremban sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang teknologi digital dan keselamatan siber.

Lawatan ini bertujuan untuk meneliti secara lebih mendalam keupayaan teknologi serta potensi pelaksanaan projek di negeri Kedah, khususnya dalam menyokong agenda transformasi digital dan pembangunan ekonomi berasaskan teknologi tinggi.

Hasil utama daripada penglibatan ini ialah persetujuan bersama untuk mewujudkan Centre of Excellence AI dan Keselamatan Siber yang canggih di Kedah. Kemudahan ini dijangka berfungsi sebagai Pusat Kecemerlangan (Centre of Excellence) bagi pembangunan kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber serta analitik data, di samping menyokong inisiatif pendigitalan sektor awam dan swasta di peringkat negeri.

Penubuhan pusat ini juga berpotensi menarik pelaburan teknologi, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, serta memperkukuhkan kedudukan Kedah sebagai hab teknologi baharu di wilayah utara Semenanjung Malaysia.

Delegasi PKB diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Encik Mohd Azad bin Jasmi, bersama Pengurus Besar, Puan Muzzaini binti Abd Rahman, Penolong Pengurus Operasi, Encik Hamiz bin Redzuan dan Eksekutif Projek, Cik Nor Shada binti Md Dahlal.

Sepanjang lawatan, delegasi telah diberi pendedahan kepada infrastruktur AI berteknologi tinggi, sistem keselamatan siber terkini serta penggunaan alatan analitik pintar yang digunakan bagi pemantauan dan pengurusan data secara masa nyata.

Kunjungan ini turut membuka ruang kepada perbincangan lanjut berkenaan pelaksanaan projek, pemindahan teknologi (technology transfer), pembangunan modal insan serta potensi kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan institusi pendidikan di Kedah.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen PKB dalam menyokong dasar kerajaan negeri ke arah pendigitalan ekonomi, selaras dengan aspirasi nasional seperti Ekonomi Digital Malaysia dan pembangunan industri berasaskan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).