29 April 2026 – Satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah berjaya dimeterai antara Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Syifa Bina Sdn Bhd dalam satu majlis yang berlangsung di Pejabat Permodalan Kedah Berhad, Tingkat 8, Wisma PKNK.
Perjanjian strategik ini telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKB, Encik Mohd Azad bin Jasmi, bersama wakil pihak Syifa Bina Sdn Bhd, Encik Mohd Suhaimi bin Arshad.
Kepakaran Syifa Bina Sdn Bhd sebagai sebuah syarikat kontraktor bumiputera yang berkaliber di Malaysia telah memberikan nilai tambah serta meningkatkan keyakinan PKB untuk terus mengorak langkah dan bergiat lebih aktif dalam sektor pembinaan.
Melalui jalinan strategik ini, kedua-dua pihak menyasarkan untuk meneroka lebih banyak peluang perniagaan baharu, khususnya yang melibatkan projek pembangunan infrastruktur dan hartanah berpotensi tinggi di sekitar negeri Kedah. Langkah proaktif ini amat bertepatan dengan visi PKB untuk terus memperkukuh portfolio pelaburan syarikat, di samping memainkan peranan sebagai peneraju utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
Semoga usaha sama yang terjalin kukuh pada hari ini menjadi titik tolak kepada lebih banyak kejayaan luar biasa dan kelancaran pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi pada masa akan datang.

