
𝐊𝐮𝐧𝐣𝐮𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐇𝐨𝐫𝐦𝐚𝐭 𝐃𝐞𝐥𝐞𝐠𝐚𝐬𝐢 𝐏𝐊𝐁 𝐤𝐞 𝐏𝐞𝐣𝐚𝐛𝐚𝐭 𝐓𝐮𝐧 𝐃𝐫. 𝐌𝐚𝐡𝐚𝐭𝐡𝐢𝐫 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝, 𝐏𝐞𝐧𝐚𝐬𝐢𝐡𝐚𝐭 𝐒𝐆𝟒
Kuala Lumpur – 07 Mei 2025, Rabu: Satu kunjungan hormat penuh makna telah dilakukan oleh delegasi Permodalan Kedah Berhad (PKB) diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Mohd Azad bin Jasmi bersama Pengurus Pembangunan Perniagaan Puan Muzzaini binti Abd. Rahman dan Penolong Pengurus Operasi Encik Mohd Hamiz bin Redzuan ke pejabat YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad, Penasihat Kumpulan Kerjasama Serantau 4 Negeri (SG4), di Putrajaya.
Kunjungan ini bertujuan untuk memperkenalkan peranan dan inisiatif semasa PKB dalam pembangunan ekonomi negeri Kedah serta meneroka ruang kerjasama yang selari dengan aspirasi SG4 dalam memperkasa pembangunan serantau secara holistik dan mampan.
Pertemuan tersebut turut memberi peluang kepada pihak PKB untuk mendapatkan pandangan dan nasihat strategik daripada YABhg. Tun dalam merangka hala tuju pelaburan dan pembangunan masa hadapan, khususnya dalam konteks memperkukuh daya saing Kedah sebagai hab ekonomi dan pelaburan utama di utara Semenanjung Malaysia.
PKB amat menghargai kesudian YABhg. Tun menerima kunjungan ini dan berharap agar hubungan yang terjalin dapat diteruskan dalam usaha memacu kemajuan negeri secara inklusif dan berimpak tinggi.


